Rabu, 21 Oktober 2020

SECEBIS GAMBARAN KEINDAHAN SYURGA


    Syurga. Mendengarkan namanya sahaja hati terasa indah. Keindahannya tidak terjangkau dek akal fikiran. Tiada siapa yang mampu membayangkan bahkan menceritakan tentang syurga. Jauh sekali melihat keindahan syurga. Namun, kita boleh dengari cerita-cerita dan keindahan syurga digambarkan melalui mutiara hadis Rasulullah s.a.w. 

    Dunia bukanlah tempat yang kekal abadi. Kerana ada dua destinasi yang pasti dan kekal abadi menanti kita selepas berakhirnya usia di dunia ini. Dua destinasi namun cuma ada satu pilihan diakhirnya. Syurga mahupun neraka. Pilihan itu bergantung pada setiap amalan yang pernah kita lakukan ketika hidup di dunia. 

    Beruntunglah bagi sesiapa yang terpilih menjadi penghuni syurga atas ketaatannya semasa di dunia dahulu. Kerana di sana ditempatakan bersama para Nabi, syuhada serta orang-orang yang soleh. 

    Rasulullah s.a.w menceritakan banyak perihal syurga melalui melalui mutiara hadis baginda. Agar gambaran syurga ini sedikit sebanyak dapat mendorong kita untuk merindui dan menggapai syurga yang hakiki. Ikuti antara keindahan syurga yang digambarkan oleh baginda:

1. TIDAK BERKUMUH, BAHKAN SENTIASA BERTASBIH

Jabir r.a bercerita, Rasulullah s.a.w bersabda: "Ahli syurga itu makan dan minum di dalam syurga, tetapi mereka tidak membuang air besar, tidak membuang hingus dan tidak membuang air kecil. Tetapi apa sahaja yang  dimakan  oleh mereka di dalam syurga itu akan menjadi sendawa seperti bau minyak kasturi. Mereka diilhamkan untuk berbafas." -Riwayat Muslim.

2. MENYAKSIKAN ALLAH SECARA NYATA

Shuhaib mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, maka Allah berfirman: 'Apakah kamu menginginkan sesuatu (nikmat) tambahan?' Mereka ahli syurga berkata: 'Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga, dan Engkau telah selamatkan kami daripada azab api neraka? Kemudian Allah membuka hijab, tiada sesuatu kurnia yang lebih mereka sukai daripada melihat kepada Tuhan mereka (Allah)." -Riwayat Muslim.

3. NIKMAT YANG TIDAK PUTUS

Abu Hurairah bercerita daripada Rasulullah s.a.w: "Apabila ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, maka terdengarlah suara yang berkata: 'Sesungguhnya kamu semua akan hidup dan tidak akan mati selama-lamanya. Sesungguhnya kamu semua akan sihat dan tidak akan sakit selama-lamanya. Sesungguhnya kamu semua akan muda dan tidak tua selama-lamanya. Sesungguhnya kamu akan terus diliputi nikmat dan tidak putus selama-lamanya.'" - Riwayat Muslim.

4. SYURGA YANG LUAS

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga ada sebatang pohon. Seandainya apabila seseorang menunggang kuda yang pantas lariannya untuk mengelilingi pohon itu selama seratus tahun, nescaya ia masih belum dapat mengelilinginya." -Riwayat Bukhari & Muslim.

" Ya Allah, semoga hati-hati kami ini sentiasa merindui dan menginginkan syurga-Mu. Hindarkanlah kami daripada terpaut dan tertipu dengan sandiwara dunia yang sementara ini. Amin."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenapa kita perlu ambil POLIFENOL dalam diet seharian ?

Mungkin daripada kita pernah dengar tentang PROTEIN, VITC, VIT E  Polifenol merupakan bio aktif kompaun yang secara semulajadinya dalam tum...