Selasa, 20 Oktober 2020

MINTALAH KEPADA-KU

    Manusia diciptakan dengan serba kekurangan. Meskipun diciptakan serba sempurna fizikal dan akal, namun kelemahan manusia masih terlalu banyak. Kerana hakikatnya yang ada pada manusia itu 'diberi' atau 'dipinjamkan'. Ia tiada kuasa keatas dirinya sendiri, bahkan apa yang berlaku dalam kehidupannya juga bukan atas kehendaknya. Semua yang dimiliki di dunia ini bukanlah hak yang mutlak. Setiap perjalanan manusia itu amat memerlukan pemberian dari Tuhannya. 

    Kepada siapa lagi manusia boleh meminta sebarang hajat jika bukan kepada yang maha menjawab segala doa. Allah, al-Mujeeb yang maha menjawab dan memperkenankan segala doa hamba-hamba-Nya. 

    Dia, al-Mujeeb yang tidak pernah sekali alpa daripada mendengar segala rintihan yang mengharap pada penciptanya. Dia, sentiasa menanti permintaan hamba-Nya siang dan malam bahkan Dia turun ke langit dunia untuk mendengar permintaan hamba-Nya dan megabulkannya. Kerana kekuasaan dan keluasan ilmu-Nya, Dia sentiasa menanti permintaan hamba-Nya yang dicintai.

TIP MENGINSAFI SIFAT AL-MUJEEB:

1. Menjawab panggilan al-Mujeeb

- Mintalah hanya kepada Allah s.w.t kerana Dia sentiasa menanti akan hajat kita. Sahutlah panggilan Ilahi dengan segera menunaikan solat fardu serta berzikir mengingati-Nya.

2. Mengetahui adab meminta yang betul

- Mintalah pengampunan atas dosa yang dilakukan terlebih dahulu sebelum meminta dipenuhi segala hajat kepada-Nya. Jangan tergesa-gesa dalam meminta kepada-Nya.

3. Bersangka baik

-  Yakin dan percayalah bahawa setiap hajat yang belum ditunaikan bukan kerana Allah tidak sudi memakbulkan tetapi ia ditangguhkan kerana pasti ada sesuatu yang lebih baik yang akan Allah kurniakan.

4. Membantu insan lain

- Bantulah siapa sahaja yang memerlukan pertolongan. Tidak kiralah jika dia adalah non-muslim. Kerana asbab hidayah mungkin melalui kebaikan yang kita hulurkan kepada mereka. Andai sahaja kita mengalami waktu yang sukar, kita juga mengharapkan pertolongan Allah, maka bantulah insan lain yang diminta untuk dibantu. Insan yang dibantu juga akan turut mendoakan yang baik buat diri kita.

    Jadikanlah seluruh pergantungan, pengharapan, dan keyakinan kita yang utama kepada Allah s.w.t terlebih dahulu. Insya-Allah permintaan itu akan mudah dimakbulkan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenapa kita perlu ambil POLIFENOL dalam diet seharian ?

Mungkin daripada kita pernah dengar tentang PROTEIN, VITC, VIT E  Polifenol merupakan bio aktif kompaun yang secara semulajadinya dalam tum...