Khamis, 22 Oktober 2020

DI SEBALIK SUJUD


    Allah s.w.t menciptakan manusia untuk menyelusuri kehidupan ini bukanlah berseorangan. Lalu Allah s.w.t menganugerahkan kita hidup dalam bermasyarakat. Kita dikurniakan rezeki yang baik seandainya dikelilingi dengan persekitaran yang baik dan teman-teman yang boleh mendorong kita taat kepada Sang Pencipta. Namun, pasti akan ada ujian disebalik kurniaan rezeki dari Tuhan kepada kita. Sekiranya kita melihat segala ujian itu dengan kaca mata iman, maka segala ujian itu akan dapat dihadapi dan diuruskannya dengan baik. 

    Justeru sujud adalah terapi yang terbaik buat kita daripada Allah s.w.t. Sujud bukanlah sekadar rukun dalam solat malah ia merupakan suatu anugerah Tuhan buat hamba-hamba-Nya yang mahu berfikir. Mari kita hayati dan syukuri anugerah di sebalik sujud daripada Allah s.w.t.

1. Lambang Keakraban
Sujud melambangkan kesungguhan seorang hamba untuk mengakrabkan hubungannya dengan Allah. Di setiap bicara kita melalui doa didengari oleh-Nya kerana waktu sujud adalah saatnya paling hampir antara hamba dan Tuhannya. 

"Dan sujudlah, dampingi dirimu kepada Allah." - (Surah al-Alaq 96:19)

2. Simbolik Kerendahan Hati
Melaui sujud, akan melahirkan rasa kerendahan hati yang kerdil tatkala mendampingi-Nya. Ia mendidik hati agar sentiasa bersederhana dalam segala hal dalam kehidupan. Secara langsung menghakis sikap egois dalam diri dan mempamerkan akhlak yang baik sesama manusia. 

Allah s.w.t merakamkan ciri-ciri hamban-Nya yang bersujud dalam al-quran: " Mereka segera merebahkan diri sambil bersujud dan menggerakkan lidah dan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong." -(Surah al-Sajdah 32:15)

3. Bukti Ketaatan
Firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 43, "Taatlah kepada Tuhanmu dan sujud serta rukuklah bersama-sama orang yang rukuk."  Ketaatan seorang hamba boleh dinilai melalui kerelaannya melaksanakan segala perintah Allah antaranya ialah sujud. Sujud itu dimana seorang hamba mensyukuri segala nikmat dari Tuhannya dan menyerah diri serendahnya malah menjadikan seluruh kebergantungan hanya kepada Allah s.w.t.

4. Tanda Kebijaksanaan
Orang  yang bijak hanya melakukan sesuatu perkara yang diyakini oleh akal dan fikirannya. Justeru, sujud perlu diiringi ilmu serta keinginan untuk terus mengaji dan mengkaji al-Quran. Demikian Allah menyebut: "Orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibcakan al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk bersujud." -(Surah al-Isra' 17:107)

5. Mempamerkan Pujian
Sujud berperanan sebagai tanda syukur kita sebagai hamba kepada Ilahi dengan mempamerkan pujian kepada Ilahi yang telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada kita, apatah lagi nikmat yang diberi secara percuma. Bahkan Allah memberi walaupun tidak kita pinta. Allah mengingatkan kita: "Bertasbihlah engkau dengan memuji  Tuhanmu, serta jadilah dalam kalangan mereka yang bersujud." -(Surah al-Hijr 15:98)

6. Menambahkan Khusyuk
Allah berfirman: "Dan mereka segera tunduk bersujud sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan kekhusyukan mereka." -(Surah al-Isra' 17:109)

7. Menjadi yang Terpilih
Hanya insan terpilih sahaja yang mampu merasai nikmat bersujud. Lihatlah sekeliling kita, begitu ramai yang menangguhkan keiginan bersujud tetapi masih lagi tidak diberi kesempatan? Mereka terleka dengan kesibukan, lalai dan terlupa. Malah berapa ramai pula yang terlalu rindu meletakkan dahi ke sejadah, ingin tunduk dan bersujud tetapi terhalang oleh masalah kesihatan dan faktor usia? 

Justeru, pintalah pada Ilahi agar dipilih dan dikurniakan nikmat sujud sementara peluang dan masa masih ada. Berdoalah agar sentiasa dikurniakan petunjuk dan hidayah dari-Nya. "Dan mereka itu adalah dalam kalangan orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah al-Rahman, mereka segera sujud dan menangis. -(Surah Maryam 19:58)

Sujud itu anugerah, hadiah dan pemberian dari Ilahi untuk kita nikmati dan syukuri. Sementara masih berpeluang, jangan dipersiakan ia kerana sujud  bukti kehambaan, ketaatan dan kedudukan kita disisi Allah yang mentadbir sekalian alam. 


Sumber: Nurul Huda Mohd Hasyim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenapa kita perlu ambil POLIFENOL dalam diet seharian ?

Mungkin daripada kita pernah dengar tentang PROTEIN, VITC, VIT E  Polifenol merupakan bio aktif kompaun yang secara semulajadinya dalam tum...