Sabtu, 3 Oktober 2020

KISAH MUBARAK PENJAGA KEBUN



    Mubarak bekerja di sebuah kebun pokok delima yang dimiliki oleh seorang saudagar dari negeri Hamdzan.  Pada suatu hari majikannya datang kepadanya dan berkata:  "Wahai Mubarak, aku ingin rasa buah delima yang  manis."  Mubarak terus berlari ke sebatang pohon delima dan memetik buahnya lalu diberikan kepada majikannya.  Ketika merasai buah delima itu, majikannya memarahi Mubarak kerana buah tersebut sangat masam. "Aku meminta buah yang manis, tetapi engkau memberiku buah yang masam." "Pergi ambilkan aku yang manis!"  Bentaknya.

    Mubarak pun segera berlari mendapatkan buah delima dari pohon yang lain.  Setelah makan, majikannya semakin marah kerana rasanya tetap masam.  Mubarak mulai cemas dan berlari semula untuk mendapatkan buah delima dari pohon yang lainnya.  Kali ketiga usahanya tetap gagal.  Mubarak tidak berhasil mendapatkan buah delima yang  manis untuk majikannya.  

    Setelah itu, majikannya bertanya:  "Apakah engkau tidak tahu membezakan antara buah yang manis dan masam?"  Mubarak menjawab: "Tidak.  "Mengapa begitu?"  tanya majikannya lagi.  "Kerana aku disuruh menjaganya, bukan disuruh memakannya," jawab Mubarak.

    Pemilik kebun itu terkesima sejurus mendengar jawapan daripada Mubarak.  Walaupun dia hanya seorang penjaga kebun, tetapi beliau sangat jujur dan amanah.  Dimata majikannya, Mubarak miliki hati yang begitu mulia sehingga dia tertarik untuk menjadikan Mubarak sebagai suami puterinya.  Walaupun puterinya sering dilamar orang tetapi dia tidak mengendahkannya. 

    Majikannya berkata:  "Wahai Mubarak, pada pandanganmu siapakah yang layak memperisterikan puteriku ini?"  Mubarak kemudiannya menjawab:  "Orang jahiliah dahulu menikahkan puteri-puteri mereka mengikut keturunan.  Orang Yahudi pula berkahwin kerana harta, manakala orang Nasrani kerana rupa dan umat ini berkahwin kerana agama."

    Majikannya tersenyum takjub mendengarkan jawapan daripada Mubarak.  Lalu dia menyatakan hasratnya kepada isterinya dan berkata:  " Pada pandanganku, tiada yang lebih layak untuk dijodohkan dengan puteri kita selain daripada Mubarak."

    Mubarak akhirnya dinikahkan dengan puterinya.  Daripada seorang penjaga kebun, kini Mubarak menjadi menantunya dan mewarisi harta yang melimpah ruah.  Daripada perkahwinan ini, lahirlah seorang ulama Abdullah bin Mubarak, iaitu seorang alim dan ahli hadis yang zuhud.

"Jujur adalah persoalan memilih antara kebenaran yang diyakini dengan pendustaan yang akan sentiasa membelenggu diri menjadi tidak tenang.  Perkataan jujur mudah diungkapkan tetapi sukar untuk dilakukan.  Ringan di lidah, berat direalisasikan." - Mahfuzah Omar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenapa kita perlu ambil POLIFENOL dalam diet seharian ?

Mungkin daripada kita pernah dengar tentang PROTEIN, VITC, VIT E  Polifenol merupakan bio aktif kompaun yang secara semulajadinya dalam tum...