Selasa, 10 November 2020

FAKTA LANGSING YANG PERLU ANDA KETAHUI

 


    Setiap wanita mendambakan tubuh yang langsing dan ideal. Bagaimanapun seiring dengan perkembangan dunia kesihatan, tubuh yang langsing sahaja tidak mencukupi kerana ia perlu seiring dengan kesihatan. Untuk memiliki tubuh yang ideal, langsing dan sihat, sebaiknya anda mengetahui beberapa fakta dan mitos mengenai diet kerana terdapat pelbagai info yang tidak ketahui kebenarannya.

Mitos 1: Makanan bebas lemak adalah makanan yang bebas kalori.

Fakta:

Kebanyakan makanan tanpa lemak sebenarnya masih mengandungi kalori dalam jumlah yang sama bahkan lebih banyak daripada kandungan lemak. Ramai yang tidak menyedari makanan yang dilabelkan tanpa lemak seperti biskut  masih mengandungi banyak kalori yang bukan sahaja dari lemak bahkan protein dan karbohidrat. Makanan tersebut juga mengandungi gula dan zat tepung yang ditambah untuk meningkatkan rasa. Bahan-bahan tersebut sedikit sebanyak menaikkan berat badan.

Mitos 2: Semua lemak adalah jahat.

Fakta:

Sebenarnya lemak merupakan nutrisi yang penting bagi tubuh. Lemak berfungsi membantu proses penyerapan nutrisi dan juga penghasilan tenaga. Namun, terdapat juga lemak yang tidak baik jika diambil dalam jumlah yang berlebihan. Kerana ia boleh menyumbang kepada penambahan berat badan dan risiko penyakit jantung.

Mitos 3: Salad tidak menggemukkan.

Fakta: 

Jika kita menambah bahan tinggi lemak seperti mayones dalam hidangan salad, hidangan tersebut berpotensi tinggi mengandungi banyak kalori dan lemak berbanding makanan seperti stik dan kentang goreng. Secara signifikan mayones kaya dengan lemak yang akan meningkatkan kalori, lemak dan garam. Ia bukanlah pilihan hidangan yang baik bagi individu yang sedang berdiet.

Mitos 4: Gula lebih menggemukkan berbanding madu.

Fakta:

Gula mahupun madu masing-masing mengandungi gluosa dan fruktosa. Satu sudu makan madu mengandungi 64 kalori manakala satu sudu makan gula memiliki 46 kalori. Ini menunjukkan madu miliki lebih banyak kalori dan boleh menggemukkan badan sekiranya diambil secara berlebihan.

Mitos 5: Karbohidrat menyebabkan berat badan bertambah.

Fakta:

Makanan yang paling penting dalam diet adalah karbohidrat. Karbohidrat tidak mengakibatkan kenaikan berat badan melainkan jika ia bertindak balas dengan jumlah kalori yang berlebihan. Penyelidikan yang dibuat terhadap individu yang berdiet dengan mengambil tinggi karbohidrat dan rendah lemak berjaya menurunkan berat badan mereka dengan baik. 

Mitos 6: Senaman dan olahraga tidak diperlukan semasa berdiet.

Fakta:

Walaupun mengamalkan diet yang betul dapat membantu menurunkan berat badan, namun otot dan kulit yang menggeleber yang muncul setelah kehilangan banyak berat akan kelihatan buruk dan hodoh. Oleh itu, bersenam dan  berolahraga yang akan membantu meningkatkan penurunan berat badan sekaligus  menjadikan otot-otot anda lebih cantik.  


Sumber: iSIHAT

 


Isnin, 9 November 2020

4 TIP KEMPISKAN PERUT

 1. Cukup 8 Jam Sehari

Bekerja secara bijak, bukan kuat. Kajian ke atas 7000 individu dewasa oleh penyelidik dari Universiti Helsinki mendapati mereka yang gemar bekerja lebih masa berisiko mengalami peningkatan berat badan berbanding tahun sebelumnya. Jadi, berusahalah untuk bekerja lrbih efisien dan pulang ke rumah bila tiba masanya.

2. Kurangkan Menonton TV

Kajian penyelidik dari Universiti Harvard yang mengikuti perkembangan lebih 5000 wanita selama enam tahun mendapati, setiap dua jam menonton televisyen akan meningkatkan risiko obesiti sebanyak 23 peratus dan risiko diabetes jenis 2 sebanyak 14 peratus.

3. 2 Cawan Brokoli

Bagi setiap 10 gram serat yang diambil setiap hari, membolehkan perut anda mengurangkan empat peratus lemak. Dua biji epal, satu artichoke atau dua cawan brokoli memadai untuk melakukan tugas tersebut.

4. 2 Kg Lebih Kurus

Postur tubuh yang sempurna selalu di idamkan oleh kebanyakan wanita. Malah kaum lelaki juga turut menginginkannya. Berdiri tegak akan memberikan anda imej 2 kg lebih kurus. Perut juga akan kelihatan lebih kempis pada kadar segera. Bayangkan ada tali pengukur yang melilit pinggang anda. Dengan segera tubuh anda akan menarik nafas, berdiri tegak dan mengempiskan perut. 


Sumber: iSIHAT

Ahad, 8 November 2020

5 MANFAAT BERSENAM PADA PSIKOLOGI

 

    

    Jurnal Latihan kekeluargaan pada tahun 2010 menyatakan kebiasaan bersenam bukan sahaja memberi kesan positif pada kesihatan fizikal bahkan kepada mental anda.


1. Keyakinan diri

Bersenam adalah antara kaedah terbaik untuk menurunkan berat badan sekaligus membentuk otot. Bagi anda yang tidak mempunyai masalah dengan berat badan, senaman mampu meningkatkan keyakinan terhadap diri sendiri. Ia mampu memberi aura positif kepada diri untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan merangsang minda untuk berfikiran secara positif dan kreatif.

2. Mengurangkan tekanan dan rasa cemas

Individu yang melakukan senaman secara rutin dapat membantu mengurangkan rasa tekanan dan perasaan cemas. Semasa bersenam, tubuh akan mengeluarkan endorfin yang akan menyalurkan rasa tenang dan kepuasan. Sebaliknya individu yang tidak merasakan aliran hormon ini cenderung untuk merasa stres dan cemas. 

3. Kemampuan belajar

Senaman memberi rangsangan terhadap perkembangan otak dan memperkuat sambungan saraf-saraf pada otak. Bagi kanak-kanak, ia sangat membantu dalam proses pembelajaran. Minda akan berfungsi secara aktif dan kreatif. Selain itu, bersenam juga dapat meningkatkan daya ingatan jangka pendekdan panjang disamping memperlambat penurunan kognitif. 

4. Tidur lebih lena

Individu yang rajin bersenam secara teratur lebih mudah untuk tidur serta mendapatkan tidur yang lebih lena. Bersenam dapat mengelakkan masalah kekurangan tenaga dan sukar untuk tidur. Selain itu ia juga seperti memberi satu suntikan booster tenaga yang lebih besar sehingga membuatkan kita selalu rasa bersemangat dalam menjalani kehidupan. 

5. Kehidupan sosial

Bersenam secara beramai-ramai atau dimana-mana pusat gim memberi kelebihan untuk anda memiliki ramai teman atau kenalan. Hal ini akan membuatkan anda tidak merasa terpinggir. Kanak-kanak juga turut mendapat manfaat sosial daripada aktiviti senaman dari segi perkembangan psikologi terutama bagi mereka yang mengalami kecacatan. 

Bagi yang bekerluarga, bawalah keluarga anda bersiar-siar ditaman sambil melakukan senaman ringkas bersama mereka. Selain sihat tubuh badan, hubungan kekeluargaan juga akan semakin erat.

    Aktiviti jogging merupakan salah satu aktiviti senaman yang menjadi pilihan kebanyakan individu. Namun, sekiranya anda sedang haid berhati-hati  melakukannya kerana otot dibahagian lutut akan mudah untuk mengalami kecederaan. 

    Menurut kajian dari Universiti North Carolina, saraf di sekitar otot lutut kaum wanita mudah terlepas ketika seminggu sebelum kedatangan haid. Hal ini berlaku kerana faktor hormon yang dilihat menyumbang kepada pengawalan otot. Apabila menstruasi berlaku, pola aktiviti otot turut terganggu dan ia memicu kepada kecederaan jika diberikan impak yang berlebihan.


Sumber: iSIHAT

Sabtu, 7 November 2020

ELAK PAKAI BRA BERDAWAI

 


TIP DOKTOR

    Sebagai seorang pakar bedah di Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang mengkhusus dalam pembedahan dan rekonstruktif payudara, Profesor Dr. Norlia Abdullah mempunyai amalan tersendiri dalam menjaga kesihatan payudara.

    Perkara paling penting dalam penjagaan  payudara adalah memilih saiz pakaian dalam yang sesuai. Kata beliau, "Baju dalam perlu sesuai dari segi ukur lilit dan mangkuk payudara. Kalau pakai yang kecil ia tak beri sokongan sepenuhnya. Jika pakai yang besar, ada ruang kosong."

 "Pada saya baju dalam tanpa dawai lebih baik daripada yang berdawai. Berdasarkan pemerhatian saya, mereka yang pakai baju dalam berdawai sering dikesan mempunyai ketulan di bahagian bawah buah dada berbanding yang tak pakai, " tambah beliau.

    "Ini terjadi kerana payudara kita lembut. Kita pakai dalam tempoh masa yang lama. Mungkin akan timbul ketulan yang boleh menyebabkan kita rasa bimbang," ujarnya yang menyatakan bukan dawai yang memberi sokongan kepada payudara sebaliknya saiz ukur lilit tubuh dan mangkuk yang tepat.

    Dalam mengelakkan serangan kanser payudara, Prof. Norlia menasihatkan agar kaum wanita di luar sana memastikan ubuh tidak obes. Ini kerana bukan saja payudara, tetapi kanser usus pun boleh menyerang sekiranya anda obes. 

    Stres tida mempunyai bukti kukuh dalam meningkatkan risiko kanser payudara. Namun yang paling penting ialah mengambil vitamin E dan makan banyak sayur-sayuran hijau. Manakala minyak Evening Primrose Oil (EPO) bertindak mengurangkan kesakitan payudara sebelum kedatangan haid dan mencegah berlakunya sista. 

Sumber: Tip doktor, Profesor Dr. Norlia Abdullah.

Jumaat, 6 November 2020

KESAN AIR GAS TERHADAP TUBUH

 


    Air gas sememangnya tidak baik untuk kesihatan tubuh badan anda. Ini kerana air gas mengandungi kandungan gula yang tinggi yang boleh menyebabkan peminumnya yang tegar berhadapan risiko diabetes.

Terdapat kajian yang telah dijalankan terhadap tindak balas air gas kepada peminum. Ia dijalankan bagi melihat kesan air gas ke atas tubuh badan. 

Selepas 40 minit anda minum air gas:

Penyerapan kafein sudah selesai. Anak mata anda akan menjadi luas, tekanan darah anda akan mula meningkat sebagai respon pada hati anda yang merembeskan lebih banyak gula ke dalam saluran darah. Manakala reseptor adenosin dalam otak anda disekat untuk mengelakkan rasa mengantuk.

Selepas 45 minit:

Penghasilan dopamin ditingkatkan oleh badan anda untuk merangsang rasa seronok dalam otak. Cara ini adalah cara yang sama heroin berfungsi. Ini menyebabkan anda akan mula rasa ketagih untuk menikmati air bergas dengan lebih kerap.

Selepas 60 minit:

Asid fosforik daripada air gas akan mengikat kalium, magnesium dan zin iaitu agen yang bertindak meningkatkan metabolisme tubuh anda. Ini diburukkan lagi dengan dos gula yang tinggi dan pemanis buatan daripada air gas kerana ia akan meningkatkan perkumuhan terhadap kalsium. Sistem perkumuhan anda harus menjalankan proses lebih daripada kebiasannya. 

Minumlah air gas sekadarnya sahaja. Seminggu sekali atau kawal pengambilannya agar tidak terlalu kerap kerana ia akan mendatangkan mudarat kepada tubuh baan anda. Lebih baik sekiranya anda tidak mengambilnya langsung. Bertukarlah kepada minuman yang lebih sihat demi kesihatan tubuh anda.


Sumber: Klinik Kesihatan.

Khamis, 5 November 2020

AWET MUDA DENGAN PETAI

 


    Parkia speciosa atau lebih dikenali sebagai petai biasanya dijadikan ulam bagi orang-orang dahulu.  Selain dijadikan ulaman, ia juga boleh dijerukkan atau dimasak bersama masakan lain seperti sambal tumis ikan bilis, sambil tumis udang petai dan sebagainya.

     Petai bukanlah makanan yang asing bagi orang Malaysia kerana ia adalah antara makanan turun temurun yang digemari oleh segelintir penggemar ulam. Malah ada juga dari golongan muda yang turut menyukainya. 

Petai dimasak sambal.

    Walaupun bau petai agak busuk kerana ia mengandungi asam amino, namun khasiatnya sangat baik untuk tubuh anda. Jadi jangan dilihat hanya dari luarannya sahaja. Belum cuba belum tahu. Mungkin anda akan jatuh cinta dengan petai pula selepas ini. Jom kenali khasiat dan kebaikan disebalik petai dibawah.

1. Awet muda

Orang asli mempercayai makan petai dapat mengekalkan keremajaan wajah agar tampak lebih muda. Jadi tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk rawatan muka, amalkan makan petai dan ulam-ulaman yang lain sahaja dapat membantu. 

2. Membantu untuk berhenti merokok

Bagi yang berazam untuk berhenti daripada ketagihan merokok, boleh cuba amalkan makan petai mentah. Jadikan sebagai ulam semasa makan nasi. Kandungan vitamin B6, vitamin B12, kalium dan magnesium yang terkandung di dalam petai dapat membantu menghentikan ketagihan terhadap rokok. Ia juga dapat mempercepatkan penghentian nikotin yang masuk ke dalam tubuh.

Petai yang dijerukkan.

3. Mencegah serangan stroke

The New England Journal of Medicine dalam kajiannya menunjukkan bahawa dengan mengamalkan pemakanan petai dapat membantu mengurangkan risiko serangan stroke.

4. Mengurangkan stress dan depresi

Tahukah anda, makan petai boleh membantu menghilangkan stress dan mengurangkan tekanan. Ini kerana kandungan tryptophan yang terdapat dalam petai mampu meredakan stress dan tekanan anda. Fungsi tryptophan ialah memperbaiki mood anda. 

5. Mengatasi anemia

Anemia biasanya disebabkan oleh kekurangan zat besi dalam badan. Kekurangan zat besi akan menjadikan anda lesu, kurang bermaya dan mengalami rasa ngilu pada tulang. Oleh itu, petai adalah antara penawarnya. Ia mengandungi zat besi yang tinggi untuk mengurangkan masalah anemia atau kurang darah.

Petai masak sambal udang.


6. Menurunkan darah tinggi

Kandungan kalium yang tinggi dan rendah garam mampu menurunkan darah tinggi dan menstabilkan degupan jantung serta mengurangkan gejala-gejala yang disebabkan oleh darh tinggi seperti cepat marah dan senang letih.

7. Melancarkan sistem pencernaan

Petai mengandungi serat yang tinggi. Serat dan fiber dalam petai mampu menstabilkan sistem pencernaan anda dan dapat menghindari masalah sembelit, sakit perut, diare dan perut berangin.

8. Menghilangkan rasa senak ketika kenyang

Petai adalah antara ubat yang mujarab bagi orang yang selalu mengalami senak perut selepas makan. Antiasid di dalam petai mampu mengurangkan rasa senak dan mual selepas makan.

    Selain kebaikan diatas, petai juga dapat merawat masalah hati, kencing manis, buah pinggang dan menurunkan suhu badan. Manakala daun petai dapat merawat demam kuning.


Sumber: Petua dan kesihatan.

10 TIPS CEPATKAN METABOLISME BADAN

 

1. Minum air secukupnya. Minum air 8 gelas air yang disyorkan oleh pakar pemakanan sebenarnya membantu tubuh anda untuk berfungsi pada tahap yang optimum.

2. Ambil suplemen kalsium. Kajian menunjukkan bahawa kekurangan kalsium di dalam tubuh boleh mencetuskan hormon yang menyebabkan badan anda berpaut dengan lemak yang sebenarnya boleh dibakar. Anda boleh mendapatkan kalsium dari susu rendah lemak, keju, dadih, ikan salmon, taufu dan oatmil.

3. Makan snek dengan kerap. Sekiranya perut anda sudah mula memulas dan berbunyi bermakna ia memerlukan minyak. Jika anda mengabaikannya, fungsi tubuh anda akan menurun dan kebarangkalian tinggi anda akan makan dengan kuantiti yang banyak pada waktu makan seterusnya. Pilih snek yang mempunyai kandungan fiber dan protien yang tinggi seperti buah-buahan, biskut berfiber tinggi atau dadih.

4. Tidur yang cukup. Bagi mengekalkan metabolisme yang sihat anda perlutidur sekurang-kurangnya 7 atau 8 jam setiap malam. Kekurangan tidur boleh mengganggu kebolehan tubuh untuk membakar kalori. Namun jika anda terlebih tidur juga akan mendapat kesan yang sama. Cuba kekalkan rutin tidur yang konsisten dan bangun pada waktu yang lebih kurang sama setiap hari.

5. Elakkan stress. Tekanan hanya akan meningkatkan jumlah kortisol di dalam tubuh. Kortisol adalah hormon yang memberi isyarat kepada tubuh untuk menyimpan lemak sebagai persediaan sekiranya di dalam situasi yang bertekanan tinggi. Cuba lakukan senaman seperti yoga atau bermeditasi kerana ia baik untuk bantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.

6. Sinar mentari. Kajian menunjukkan bahawa mendedahkan diri seketika pada sinar mentari baik untuk kesihatan dan metabolisme tubuh anda. Waktu terbaik untuk berada di luar adalah di antara jam 11 pagi dan 3 petang. 

    Berehatlah sebentar dari tugas-tugas pejabat dan berjalanlah sebentar di luar. Selain baik untuk metabolisme, ia juga akan menaikkan kadar jantung anda dan dapat menghirup udara yang segar.

7. Lakukan senaman menggunakan pemberat (weight training). Satu paun otot akan membakar 35 hingga 50 kalori manakala satu paun lemak membakar hanya 5 hingga 10 kalori. Meningkatkan otot di dalam tubuh dapat menaikkan kadar metabolisme asas (basal metabolic rate atau BMR) anda sehingga 40%. 

    Bagi permulaan, gunakan pemberat yang rendah dan pengulangan yang tinggi terbukti dapat membina otot dan membakar lemak. Interval training atau latihan berkala adalah cara yang baik untuk mendapatkan kesan senaman yang maksimum sekiranya anda sibuk dan sukar mencari masa yang panjang untuk bersenam.

8. Minum teh hijau atau teh Oolong. Teh hijau atau teh Oolong menandungi polifenol yang dapat meningkatkan kadar metabolisme. Minumlah 4 atau 5 cawan sehari untuk melihat kesannya.

9. Vitamin C. Vitamin C dan kalsium adalah kombinasi terbaik untuk meningkatkan metabolisme tubuh anda. Kalsium dapat mempercepatkan metabolisme manakala vitamin C membantu tubuh dalam penyerapan mineral tersebut.

10. Makanan pedas. Berita baik bagi anda yang gemar makanan pedas. Kandungan capsaicin di dalamcili mampu membakar kalori sehingga 30 minit selepas memakannya. 


Sumber: Petua dan  kesihatan.

Rabu, 4 November 2020

KHASIAT DAN KEBAIKAN HALIA UNTUK KESIHATAN


1. Halia mengandungi karbohidrat, serat, kalium, fosforus, tenaga, protein, gentian, niasin, asid amino, gingerols, oleoresin, pati minyak, vitamin A, vitamin C, lemak baik, asid organik dan nutrien.

2. Halia sememangnya terkenal kebaikannya boleh membuang angin dan melegakan sakit-sakit badan.

3. Ia digunakan sebagai herba bagi merawat sakit kepala, sistem pencernaan yang bermasalah, sakit jantung, muntah, cirit-birit, memanaskan badan, asma, ekzema, sakit perut, lemah tenaga batin, batuk kering, membuang lendir di dalam badan dan menghilangkan bau hamis haid atau nifas.

4. Halia antara herba yang paling mujarab untuk anda yang sering kesejukan dan berhawa dingin bagi melawan kesejukan. Malah campuran halia dan madu adalah antara herba yang sesuai untuk melegakan sakit tekak dann batuk.

5. Halia dipercayai mampu mempertingkatkan tenaga syahwat atau batin dan mengelakkan berlaku angin 'uluran' terutama dikalangan kaum lelaki.

6. Ia juga merupakan ramuan utama untuk ibu-ibu yang berpantang atau kaum wanita yang menghadapi masalah senggugut.

7. Halia dapat mengekalkan peredaran darah normal. Ia mengandungi kromonium, magnesium, dan zink. Darah yang normal mengalir mengelak berlakunya kesejukan di dalam tubuh dan menyebabkan tubuh lemah dan senang diserang penyakit.

8. Kajian menunjukkan menikmati teh halia segar panas mampu mengurangkan risiko terkena demam dan selsema. Malah sup ayam panas yang ditambah halia yang banyak adalah antara renedi untuk mereka yang kurang sihat dan sakit.

9. Halia juga ialah makanan anti radang yang turut membantu mengelakkan beberapa kanser yang merbahaya. Malah ia juga dipercayai boleh mematikan sel kanser ovari.

10. Bagi anda yang menghadapi masalah pernafasan berkaitan paru-paru, halia dipercayai mampu melegakannya kerana fungsi halia yang boleh mencairkan kahak.

11. Ia mampu meningkatkan imuniti dan melegakan alahan dikalangan wanita mengandung.

12. Sapuan air halia yang ditumbuk ke bibir boleh menjadikan bibir anda kemerah-merahn.

13. Sifat halia yang boleh memanaskan badan membantu  membuang toksin dan peluh sekaligus melangsingkan badan. 


14. Selain itu, halia membantu mengatasi bau badan. Rebus halia bersama daun pandan serta tabahkan sedikit madu ketika minum diwaktu pagi. 

15. Menikmati secangkir teh halia setiap hari mampu memberi kelegaan pada tubuh sekaligus menaikkan seri wajah. Ini kerana fungsinya yang melancarkan perjalanan darah sekaligus membuatkan wajah anda lebih awet muda.

16. Menambah halia dalam pelbagai masakan kukus khususnya mampu mengurangkan tekanan dan mengatasi stress. Malah aromanya membuatkan badan terasa ringan.

17. Air rebusan halia bersama serai dapat membantu menguruskan badan dan membuang toksin serta mencegah kanser. Ini kerana serai adalah agen pencegah semulajadi kanser. Gabugan kedua bahan herba yang hebat ini dipercayai antara ramuan anti kanser yang baik.

Sumber: Petua dan kesihatan.

Selasa, 3 November 2020

MANFAAT KISMIS UNTUK OTAK

 


Salah satu manfaat kismis yang menarik adalah baik untuk kecerdasan minda. Ini kerana kismis mengandungi kandungan mineral surih yang bernama boron yang merupakan mineral penting untuk fungsi otak. 

Boron mampu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori. Selain itu, boron juga mampu menggalakkan fungsi mineral penting seperti kalsium dan magnesium. 

Membantu mengurangkan sembelit

Serat yang tinggi yang terkandung di dalam kismis adalah sangat bermanfaat untuk fungsi sistem pencernaan berjalan dengan lancar. Satu cawan kismis mengandungi kira-kira 10 gm serat yang boleh membantu tubuh badan anda dari bahan-bahan toksik yang berbahaya dengan membersihkan kolon atau usus dan melawaskan pembuangan air.

Snek yang laat dan berkhasiat

Oleh kerana kandungan serat yang tinggi dan kalori yang rendah, kismis juga boleh dijadikan makanan ringan yang baik. Tenaga daripada fruktosa dilepaskan secara berperingkat untuk memudahkan seseorang kekal aktif sepanjang masa.

Kebaikan kismis menurut perspektif Islam:

Kismis yang dibacakan ayat-ayat Al-quran dapat membantu pelajar mendapatkan zat-zat yang diperlukan untuk otak dan sebagai makanan penerang hati. Ini kerana sudah sekian lama para ulama terdahulu mengamalkan pemakan kismis kerana ia baik untuk hafalan dan kecerdasan minda.

Membaca Al-quran adalah  antara salah satu cara untuk meningkatkan kecerdasan otak. Di antara surah-surah yang boleh diamalkan adalah:

  • Baca ayat 25-28, surah Taha 21 kali setiap hari selepas solat subuh bagi kecerdasan minda, menguatkan daya ingatan, dan menambah ilmu pengetahuan. 
  • Baca surah al-Hasyr ayat 21 supaya mudah mengingat apa yang dibaca.
  • Membaca surah al-Insyirah 11 kali selepas solat subuh.
  • Membaca surah al-Anbiya ayat 79  sebanyak 10 kali sebelum matahari terbit.

Antara manfaat lain kismis ialah:

  • Melindungi hati.
  • Melawan bakteria mulut yang menyebabkan pereputan gigi.
  • Membantu mengurangkan stress.
  • Membantu sebagai penerang hati.
  • Membantu masalah pelupa
  • Membantu merawat penyakit anemia 
Kismis sememangnya baik untuk kesihatan. Jika anda gemarkan snek yang berkhasiat, bertukarlah daripada makanan ringan kepada kismis. Ia bukan sahaja sedap malah mengenyangkan. 

Sumber: Petua dan kesihatan.

Isnin, 2 November 2020

TIP HILANGKAN MIGRAIN SECARA SEMULAJADI

 1. Minyak aromaterapi atau minyak  panas

Sapukan minyak aromaterapi atau minyak panas di kepala, tengkuk dan di belakang telinga. Lebih berkesan jika diurut. Ini adalah antara cara yang berkesan merawat migrain.

2. Urutan

Lakukan urutan di kepala, tengkok dan bahu. Ia bukan sahaja dapat membaiki peredaran darah ke kepala malah turut membantu menenangkan minda serta merehatkan badan.

3. Suasana tenang

Berehatlah seketika dalam suasana yang gelap dan sejuk. Sebaiknya di dalam bilik. Gunakan kipas atau penghawa dingin dan jauhkan diri dari sebarang gajet buat seketika. Suasana yang tenang akan membantu anda menghilangkan sakit migrain yang dialami.

4. Basahkan kepala dengan air sejuk

Haba yang terperangkap di dalam kepala dapat dibebaskan menggunakan air sejuk. Membasahkan kepala juga membantu merehatkan pembuluh darah di kepala yang mengembang dan mengucup dengan cepat semasa migrain. Anda boleh membasahkan rambut kemudian bungkus kepala dengan kain yang lembab atau lebih baik sekiranya anda mandi. Berehat dibawah shower atau berendam dalam bathtub.

5. Pek ais

Gunakan pek ais untuk diletakkan di kepala. Kesejukan dari pek ais mampu menyalur keluar haba dari kepala.

6. Limau kasturi

Gunakan air perahan limau kasturi untuk memicit kepala yang sakit dan meramas rambut anda. Kulit limau yang tinggal rendamkan seketika di dalam semangkuk air yang bersih. Sebaiknya air yang sejuk. Selesai memicit dan meramas kepala, jiruskan air rendaman kulit limau tadi di kepala. 

7. Jauhi MSG

Monosodium glutamat (MSG) digunakan dalam masakan untuk meningkatkan rasa. Ia berasal dari asid amino yang dipanggil asid glutamik yang wujud secara semulajadi dalam pelbagai jenis makanan. Makanan yang mengandungi MSG boleh mengundang migrain kerana ia merangsang neuron.

8. Cuka epal cider atau epal hijau

Bau epal hijau dapat mengurangkan migrain. Manakala satu sudu cuka epal boleh mengembalikan keseimbangan asid dan alkali dalam badan anda. Epal hijau boleh dimakan begitu sahaja atau dihidu baunya semasa migrain. Cuka epal selain diminum, ia juga boleh diletakkan 3 ke 4 sudu ke dalam air suam. Kemudian basahkan tuala dengan air campuran cuka tadi dan bungkus kepala dengannya.

9. Rendam kaki dalam bekas air panas

Merendamkan kaki dengan air panas boleh menarik pengaliran darah ke bahagian bawah badan  dan dapat mengurangkan tekanan ke atas bahagian kepala anda. Lakukanlah rendaman tersebut sekama 30 minit.

10. Rawatan akupuntur

Bagi mereka yang mengalami masalah migrain yang teruk dan kerap berulang boleh menjalani kaedah alternatif rawatan akupuntur. 

11. Minum air elektrolit

Minuman berelektrolit dapat mengembalikan bendalir dan tenaga dalam badan. Ia merupakan antara cara mengatasi migrain. Air elektrolit adalah seperti 100 plus atau revive. Elakkan mengambil minuman ini dalam kuantiti yang banyak dan kerap kerana ia mengandungi gula dan kandungan tenaga yang sangat tinggi.


Sumber: Petua dan kesihatan

Kenapa kita perlu ambil POLIFENOL dalam diet seharian ?

Mungkin daripada kita pernah dengar tentang PROTEIN, VITC, VIT E  Polifenol merupakan bio aktif kompaun yang secara semulajadinya dalam tum...