Sebagai ibu bapa, anda pasti inginkan setiap anak-anak bersatu hati, saling menghormati dan sayang menyayangi antara satu sama lain.
Kadang-kadang memang akan ada perbalahan kecil antara mereka. Namun sekiranya dari awal anda mendidik mereka erti kasih sayang antara adik beradik, tidak mustahil mereka akan berbaik semula dalam masa yang singkat lantaran menyedari nilai kasih sayang yang telah anda tetapkan dalam diri mereka.
Berikut adalah antara perkara yang perlu diterapkan pada anak-anak sedari kecil lagi. Mudahan ia dapat membantu anda membina hubungan adik-beradik yang kukuh sepanjang hayat mereka.
1. MAKAN BERSAMA
Dalam sehari, pastikan anda dan anak-anak berkumpul seisi keluarga untuk makan bersama-sama. Selesai makan, anda dan mereka boleh saling berbual dan berkongsi bercerita tentang apa sahaja.
Semua ahli keluarga akan berasa seronok apabila dapat terlibat dalam aktiviti seharian masing-masing. Perkongsian secara terbuka dan santai akan membuatkan anak-anak merasakan anda dan ahli keluarga yang lain ada bersama mereka sekaligus dapat membina bonding family yang kuat.
2. JAGA ANTARA SATU SAMA LAIN
Sentiasa ingatkan anak-anak untuk menjaga diri mereka antara satu sama lain. Yang lebih berusia perlu menjaga adiknya. Malah si adik juga boleh melakukan perkara yang sama.
Sebelum tidur katakan pada anak-anak "Abang atau kakak perlu jaga adik. Begitu juga adik, perlu jaga abang dan kakak." Percayalah, sekiranya dari kecil anda sudah ingatkan perkara ini kepada anak-anak, pesanan ini akan sentiasa kukuh dalam ingatan mereka apabila mereka dewasa kelak.
3. BERLAKU ADIL
Tanpa sedar, kadang-kadang ibu bapa itu sendiri berlaku tidak adil terhadap anak-anaknya. Paling biasa dilakukan ialah apabila si kakak atau abang sering dipersalahkan apabila adik buat silap. Hal ini akan membuatkan anak yang lebih tua berasa kecil hati dan mula menyimpan dendam kepad adiknya.
Sama juga halnya apabila membeli sesuatu barangan. Pastikan anda berlaku adil. Hal ini penting untuk tidak menimbulkan perasaan cemburu di antara mereka. Tidak kira apapun, sebenarnya setiap anak mahu dihargai secara sama rata. Untuk itu, anda perlu bijak mengawal keadaan.
4. TOLONG-MENOLONG
Biarpun anak-anak masih kecil, ajar mereka sikap tolong-menolong daripada seawal usia. Antara yang boleh anda lakukan ialah meminta adik dan kakak atau abangnya sama-sama mengemas alat permainan yang telah digunakan.
Sambil mereka mengemas, selitkan kata-kata pujian kepada mereka. Pastikan mereka bangga dapat berbuat baik sesama sendiri.
5. TUNJUKKAN CONTOH YANG BAIK
Jika mahu anak-anak berhubungan baik antara satu sama lain, anda sendiri pun perlu menjaga hubungan yang baik dengan adik beradik.
Sikap saling tolong-menolong, ziarah-menziarahi dan saling berhubung antara anda dan adik-beradik yang dipamerkan secara tidak langsung menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan yang ada perlu dihargai dan dijaga dengan baik.
Tauladan yang baik seperti ini dapat dijadikan rujukan dan panduan buat anak-anak apabila dewasa kelak.
Sumber: Pa&Ma
Tiada ulasan:
Catat Ulasan