Rabu, 14 Oktober 2020

MUHAJIRIN DAN ANSAR

    Mari soroti kisah persaudaraan yang berlaku ketika peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah. Peristiwa ini memperlihatkan jalinan ukhwah antara golongan Ansar dan Muhajirin. 

    Golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah menerima pertolongan dan bantuan daripada penduduk Madinah. Penduduk Madinah ini digelar golongan Ansar asbab keikhlasannya memberi bantuan dan pertolongan. Mereka mencintai saudara mereka melebihi diri mereka sendiri. Segala rezeki dan harta yang ada dikongsi bersama dan diberikan kepada golongan Muhajirin.

    Nilai ukhwah islamiah yang terjalin antara mereka terbukti sangat berkesan menjadi teladan masyarakat selepas itu. Sebuah persahabatan itu akan menjadi sesuatu yang sangat manis apabila ukhwah yang dibina berlandaskan keindahan dan kecantikan ajaran Islam.

    Persaudaraan dan persahabatan berlandaskan Islam turut menerapkan budaya saling memberi dan menerima. Pemberian bukanlah hanya pada harta semata, bahkan ia hadir melalui nilai budi dan ilmu yang ada pada diri seseorang. Seorang sahabat itu menyayangi sahabatnya asbab mahukan sahabatnya itu menjadi seseorang yang terbaik dan jauh dari kemurkaan Allah s.w.t. 

    Manakala penerimaan pula hendaklah bersifat dua hala. Jadilah seorang sahabat yang bukan hanya menerima kebaikan sahabatnya tetapi berusahalah mencari perkara yang baik juga untuk diterima oleh sahabatnya.

    Walau di tahap mana sekalipun kita berada, kemanisan persahabatan hanya dapat dirasai tatkala kita ditimpa kesusahan dalam meneruskan perjalanan sebuah kehidupan. Ada tangan yang menghulur memegang erat memberi harapan pada sebuah lembaran baru. Ya, tangan tersebut adalah seorang teman sejati yang mahu melihat kita berjaya bersama-sama. 


Rasulullah s.a.w bersabda;

"Perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin memberimu minyak wangi, atau engkau boleh membeli darinya atau kalaupun tidak engkau tetap sahaja mendapatkan bau yang harum darinya. Sedangkan percikan api si tukang besi boleh mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau dari asapnya yang tidak sedap."

HR. Bukhari 5534 dan Muslim 2628

Tiada ulasan:

Catat Ulasan